Kerajaan digesa bantu rakyat Sabah di Semenanjung pulang mengundi PRN17

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa bantu rakyat Sabah yang tinggal dan bekerja di Semenanjung untuk pulang mengundi sempena Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis berkata ia dibuat susulan kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa undi pos tidak akan disediakan untuk pengundi Sabah yang berada di Semenanjung Malaysia.

Isnaraissah, yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Parlimen, berkata keputusan tersebut berisiko menafikan hak ramai rakyat Sabah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Saya telah menyuarakan kepada SPR tentang keperluan agar rakyat Sabah yang bekerja atau menetap di Semenanjung diberikan hak mengundi tanpa perlu pulang ke Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebagai langkah penyelesaian, beliau yang juga MP Parti Warisan itu mencadangkan dua tindakan untuk dipertimbangkan kerajaan Persekutuan, cuti sehari tanpa rekod bagi rakyat Sabah di Semenanjung untuk pulang mengundi, serta kawalan tambang penerbangan agar harga tiket kekal munasabah dan mampu milik.

“Pertama, saya mohon kerajaan memberikan cuti tanpa rekod sehari sebelum hari mengundi kepada rakyat Sabah yang berada di Semenanjung.

Kedua, saya mohon Kementerian Pengangkutan memastikan tambang penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dapat dikawal dan diturunkan ke kadar berpatutan,” jelasnya.

Menurut Isnaraissah, kedua-dua langkah itu penting bagi memastikan hak mengundi rakyat Sabah tidak dihalang serta mengukuhkan proses demokrasi negara.

“Saya berharap cadangan ini diberikan pertimbangan serius oleh kerajaan demi memastikan hak rakyat Sabah terpelihara dan demokrasi di Malaysia terus subur,” katanya.

Terdahulu, SPR mengumumkan bahawa PRN Sabah akan diadakan pada 29 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala pengundian awal berlangsung pada 25 November.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat