SEREMBAN: Negeri Sembilan berdepan krisis politik apabila kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mengumumkan penarikan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam kenyataan media bersama, ADUN UMNO BN Negeri Sembilan berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara selepas mendakwa berlaku krisis melibatkan institusi adat dan Perlembagaan negeri.
“UMNO BN Negeri Sembilan sangat berdukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku.
“Kami tidak akan sesekali mengambil pendirian untuk mencampuri urusan berkaitan Institusi Adat dan Perlembagaan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Mereka turut mendakwa tidak dimaklumkan mengenai sebarang perbincangan di peringkat kerajaan negeri sebelum krisis tersebut menjadi perhatian umum.
“Kami tidak pernah dimaklumkan dalam sebarang perbincangan di peringkat Kerajaan Negeri dan hanya mengetahui krisis ini apabila keadaan sudah berada pada tahap kritikal sehingga menjadi perdebatan umum,” kata kenyataan itu.
Dalam masa sama, kenyataan itu berkata, Menteri Besar sepatutnya memainkan peranan lebih berkesan dalam menangani isu berkenaan bagi mengelakkan ketegangan berpanjangan.
“Menteri Besar sewajarnya menggunakan kebijaksanaan beliau sebagai Menteri Besar dalam krisis ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, kesemua 14 ADUN berkenaan mengumumkan secara rasmi hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
“Kesemua 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan dengan ini sebulat suara hilang kepercayaan kepada Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri,” menurut kenyataan tersebut.
Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar, ketika Undang Sungei Ujong, Mubarak Dohak, pula didakwa sudah dipecat.
Berikutan krisis itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh baharu, walaupun istiadat pembukaan sidang telah disempurnakan oleh Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.








