KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket pemerdagangan orang yang memperdagangkan wanita warga India untuk tujuan eksploitasi seks dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 30 September lalu.
Dalam operasi dikenali sebagai Op Pintas (Eksploitasi Seks) itu, tujuh wanita berusia antara 25 hingga 40 tahun diselamatkan oleh Bahagian Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (D3), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Menurut Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M. Kumar, siasatan mendapati semua mangsa dijanjikan pekerjaan sebagai pembantu rumah sebelum dipaksa menjadi pekerja seks dan dikawal ketat oleh sindiket.
“Ada mangsa dipukul dan diugut sekiranya enggan patuh kepada arahan sindiket. Mereka tidak dibenarkan keluar serta diawasi setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam serbuan itu, polis turut menahan 12 individu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan 10 warga India berusia 21 hingga 63 tahun yang dipercayai ahli sindiket.
“Daripada jumlah itu, lima individu termasuk seorang anggota polis disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” ujarnya.
Tambahnya, lima lagi warga asing turut dituduh di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan orang. Tindakan tegas akan terus diambil bagi membanteras kegiatan ini,” tegas beliau.
Kesemua suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 17 Oktober lalu.
Baca juga:








