Arab Saudi Perketat Syarat Kesihatan, Pesakit Kronik Dan Berjangkit Tidak Layak Tunai Haji

PETALING JAYA: Kerajaan Arab Saudi menetapkan syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M dengan melarang individu yang menghidap penyakit kronik tidak terkawal atau penyakit berjangkit daripada menunaikan ibadah haji tahun depan.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ketetapan itu perlu dipatuhi oleh semua bakal jemaah sebelum layak memperoleh visa haji daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Antara syarat utama ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit atau kronik yang tidak terkawal serta berupaya melaksanakan ibadah haji secara kendiri tanpa bantuan orang lain,” menurut kenyataan itu.

Antara kategori penyakit yang menyebabkan ketidaklayakan termasuk kegagalan buah pinggang dan jantung kronik, penyakit paru-paru atau hati yang serius, gangguan mental atau saraf yang menjejaskan fungsi kognitif, dementia, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif serta kanser yang masih dalam rawatan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Mustakim Mohamad berkata, keselamatan dan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan utama TH.

Beliau berkata, sebahagian besar petugas haji terdiri daripada pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“TH amat menitikberatkan aspek kesihatan jemaah.

“Bagi musim 2026, klinik kesihatan dengan kemudahan farmasi akan disediakan di semua penginapan jemaah di Makkah dan Madinah,” katanya.

Namun begitu, TH tidak lagi dibenarkan membuka pusat rawatan sendiri di Tanah Suci.

Jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan doktor KKM, manakala hospital swasta juga akan digunakan jika perlu.

Menurut beliau, kesihatan yang baik merupakan syarat istito‘ah utama seperti digariskan oleh Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan.

“Bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan KKM sebelum menerima tawaran haji.

“TH akan terus memastikan jemaah Malaysia kekal sihat dan selamat sepanjang ibadah di Tanah Suci,” katanya.

Anda Mungkin Berminat