KUALA LUMPUR: Bermula 23 Januari 2026, pemohon kini boleh mencetak kad fizikal Lesen Memandu Malaysia (LMM) tanpa perlu mengemukakan bukti perjalanan ke luar negara.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan, susulan arahan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memansuhkan syarat berkenaan sebagai langkah penambahbaikan perkhidmatan.
Menurut MOT, keputusan itu dibuat selepas penerimaan meluas orang ramai terhadap penggunaan Lesen Memandu Digital sejak ia diperkenalkan pada Februari 2023.
Sehingga kini, jumlah pengguna aplikasi MyJPJ telah mencecah 13 juta orang, sekali gus mencerminkan perubahan positif dalam kalangan masyarakat yang semakin selesa menggunakan perkhidmatan digital termasuk pembaharuan lesen secara dalam talian tanpa perlu hadir ke pejabat JPJ.
“Bagaimanapun, maklum balas orang ramai turut menunjukkan masih terdapat keperluan untuk mendapatkan kad fizikal LMM khususnya bagi tujuan perjalanan dan pemanduan di luar negara,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini, pemohon diwajibkan mengemukakan bukti perjalanan seperti tiket penerbangan bagi mendapatkan kad fizikal.
Namun, syarat tersebut tidak lagi dikenakan bermula tarikh berkuat kuasa.
“Bermula 23 Januari 2026, cetakan kad fizikal LMM dibenarkan tanpa sebarang bukti perjalanan ke luar negara,” jelas MOT.
Bagi tujuan cetakan, fi ditetapkan sebanyak RM20 untuk warganegara Malaysia dan RM100 untuk bukan warganegara.
Permohonan boleh dibuat di semua kaunter JPJ serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara tanpa sebarang sekatan kategori.
“Bagi tujuan cetakan, fi ditetapkan sebanyak RM20 untuk warganegara Malaysia dan RM100 untuk bukan warganegara dengan permohonan boleh dibuat di semua kaunter JPJ serta Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara tanpa sekatan kategori,” kata kementerian itu lagi.
Dalam masa sama, dasar pemberian LMM fizikal secara percuma kepada kumpulan sasar tertentu akan diteruskan.
Antara yang layak termasuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, pemegang Lesen Kelas A1 dan A serta pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
MOT turut berkata, pengguna yang memilih Lesen Memandu Digital akan terus menikmati akses percuma melalui aplikasi MyJPJ.
Pengguna boleh memperbaharui lesen sepenuhnya secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter, sekali gus mengekalkan kemudahan digital yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat.








