Vokal Empat yang meremang! Anuar, Ziana, Ernie dan Syamel pukau peminat

PERSEMBAHAN epik! Itu yang mampu disimpulkan setelah menonton Empat penyanyi tanah air dengan kehebatan vokal masing-masing menghiburkan kira-kira 4,500 penonton di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada Sabtu malam.

Membuka tirai persembahan dengan Ku Bersuara dendangan Ernie Zakri, penonton leka menyanyi bersama pelantun vokal terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 ini. Malam dihangatkan dengan Lebih Sempurna nyanyian Syamel, Madah berhelah oleh Ziana Zain dan Keabadian Cinta daripada Anuar Zain.

Sungguhlah, keakraban mereka terserlah apabila gurauan ketika masing-masing mencari kelab peminat disambut meriah oleh penonton yang melaung-laungkan nama kelab seperti Ernienators, Syamil Lovers, Ziana Folks dan paling dinanti pastinya Anuar Zain FC.

Dengan 28 lagu popular termasuk lagu medley mengimbas kembali kenangan peminat era 90an dan awal 2000an seperti Menadah Gerimis, Anggapanmu, Riwayat Cinta, Sedetik Lebih, Keabadian Cinta dan Lelaki Ini daripada dua beradik Ziana dan Anuar yang vokalnya masih orang kata telan kaset.

Hal yang sama juga buat peminat Ernie dan Syamel seperti Aura, Beribu Tanda Tanya, Gundah dan Masing-Masing dengan lenggok dan mimik muka yang sangat menjadi.

Cabaran menarik apabila penonton diperdengarkan dengan lagu popular mereka berempat tetapi dinyanyikan oleh anggota lain, bagi penulis ia seperti lagu gubahan semula yang kesedapannya tidak boleh dibandingkan antara satu sama lain.

Gandingan empat bersaudara ini ternyata menjadi dengan karektor berbeza, Ziana dengan gelaran Mak Long, Anuar pula dipanggil Pak Ngah, sesekali diusik dengan panggilan Tokey Panggung oleh Syamel ternyata membuatkan penonton terhibur dengan telatah mereka.

Konsert Empat yang memakan masa hampir tiga jam ini ternyata memberi kepuasan kepada peminat, malahan sesekali Anuar turut berjenaka yang mungkinkah ada konsert Empat lagi selepas ini di tempat lebih besar misalnya.

Konsert Empat menampilkan pengarah konsert, Jennifer Thompson dan pengarah muzik ialah Lee Sze Wan.

Antara rakan artis yang hadir beri sokongan ialah Edry Abdul Halim, Datuk Hattan, Noryn Aziz dan Salamiah Hassan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat