Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi kelonggaran kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta untuk menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal.
Menerusi kenyataan media, KPT memberi pilihan itu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang akan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.
“KPT mengambil maklum akan pelaksanaan penutupan jalan dan kawalan keselamatan sepanjang penganjuran melibatkan kawasan di sekitar Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Selangor, dan Putrajaya.
“Cakna dan prihatin terhadap kesejahteraan warga, selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI, KPT akan memberikan kemudahan kepada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta untuk membuat pilihan menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau fizikal,” katanya.
Kata kementerian itu, setiap IPT dan IPTS diminta untuk membuat semakan lokasi, masa dan tarikh laluan yang ditutup sepanjang 26 hingga 28 Oktober ini untuk menentukan keperluan PdP secara dalam talian bagi memastikan seluruh warga tidak terkesan dengan penutupan jalan berkenaan.
“Pelajar dan warga IPT yang terkesan turut boleh berhubung dengan IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Ujarnya lagi, kemudahan yang diberikan itu bagi memastikan kesejahteraan warga IPT dan membolehkan mereka merancang pergerakan masing-masing sekaligus memastikan proses PdP dapat berjalan dengan lancar.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa jalan utama dan lebuh raya di ibu negara akan ditutup secara berperingkat dari 26 hingga 28 Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menerusi kenyataan media sosial, The Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLC3), memaklumkan bahawa penutupan jalan akan dibuat secara berkala, biasanya antara 30 hingga 45 minit bagi melancarkan pergerakan konvoi delegasi peringkat tinggi sepanjang tempoh sidang kemuncak terbabit.
Baca juga:








