PETALING JAYA: Sebanyak 11 syarikat produksi tempatan berjaya menerima pembiayaan berjumlah RM2.95 juta di bawah kategori Dana Co-Pro Dokumentari 2025, diumumkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada Jumaat.
Dana itu merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) bagi menggalakkan penghasilan dokumentari berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran antarabangsa.
Setiap projek yang diluluskan menerima pembiayaan maksimum sehingga RM300,000, bergantung kepada skala dan potensi pasaran dokumentari yang dihasilkan.
FINAS dalam kenyataan berkata, Dana Co-Pro memberi tumpuan kepada kerjasama strategik antara penerbit tempatan dan rakan produksi atau pelabur dari dalam dan luar negara.
Sebanyak 72 permohonan diterima sepanjang tempoh permohonan dari 17 Jun hingga 27 Julai 2025, dan kesemuanya dinilai secara teliti oleh Jawatankuasa Penilaian Kandungan Teknikal DKK serta Jawatankuasa Pelulus Dana Kreatif DKK.
Menurut FINAS, pelaksanaan dana ini membuktikan komitmen berterusan agensi itu dalam memperkukuh ekosistem kandungan kreatif negara dan memperluas jaringan kolaborasi antarabangsa.
“Langkah ini mengangkat Malaysia sebagai hab penerbitan dokumentari serantau yang berdaya saing dan diiktiraf di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Dana Co-Pro Dokumentari merupakan antara inisiatif utama di bawah DKK untuk meningkatkan daya saing industri kandungan tempatan serta menarik pelaburan luar, selaras dengan matlamat kerajaan memperkukuh sektor ekonomi kreatif negara.
Baca juga:








