KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara jiran.
Pertemuan itu menyaksikan kesepakatan untuk meneruskan dialog dan kerjasama berterusan dalam beberapa bidang utama termasuk perdagangan, pelaburan, pengangkutan dan pembangunan rentas sempadan.
“Malaysia dan Singapura sepakat untuk terus memperkukuh hubungan melalui dialog dan kerjasama berterusan dalam beberapa bidang utama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau turut menekankan komitmen kedua-dua pihak untuk mengekalkan momentum rundingan yang sedang berjalan dengan pendekatan saling menghormati dan berorientasikan manfaat rakyat.
“Kami juga bersetuju untuk mengekalkan momentum rundingan sedia ada berasaskan semangat saling menghormati dengan memastikan hasilnya memberi manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.
Anwar menyatakan harapan tinggi terhadap kesinambungan usaha diplomatik ini khususnya menjelang Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia–Singapura Ke-12 yang dijadual berlangsung pada Disember nanti.
Beliau turut menzahirkan doa agar hubungan persaudaraan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Singapura terus berkembang.
“Semoga hubungan persaudaraan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Singapura terus subur, berlandaskan kepercayaan, saling memahami serta aspirasi bersama untuk kemakmuran dan kestabilan rantau ini,” katanya.








