PETALING JAYA: Jemaah Menteri menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung baru-baru ini di Kuala Lumpur.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kejayaan itu adalah hasil komitmen dan usaha bersepadu seluruh rakyat Malaysia.
“Kerajaan amat menghargai dedikasi ditunjukkan semua pihak termasuk wartawan, petugas teknikal, anggota keselamatan, kakitangan hospitaliti serta penyedia makanan dan minuman yang memastikan penganjuran berjalan lancar,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.
Beliau berkata, penghargaan turut diberikan kepada semua pasukan pelaksana yang bekerja keras di belakang tabir bagi memastikan sidang berprestij itu mencapai kejayaan besar.

Fahmi turut memaklumkan delegasi Timor Leste menzahirkan pujian terhadap profesionalisme dan kecekapan pegawai Malaysia yang bertugas sebagai pegawai pengiring sepanjang persidangan.
“Delegasi Timor Leste menyatakan mereka sangat terkesan dengan layanan serta bantuan pegawai Malaysia yang dianggap amat tinggi tahap profesionalismenya. Ini satu pencapaian membanggakan,” katanya.
Tambah beliau, pengiktirafan itu mencerminkan kemampuan Malaysia sebagai tuan rumah yang berdaya saing dan disegani di peringkat serantau, hasil semangat kerja berpasukan yang kukuh.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 28 Oktober lalu turut mencatat sejarah dengan pengiktirafan rasmi Timor Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN dengan perkembangan pertama blok serantau itu sejak 1990-an.
Baca juga:








