Fahmi Uji Kelajuan 4G, 5G Di Laluan ETS

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan ujian kelajuan serta kualiti liputan rangkaian 4G dan 5G sepanjang laluan Kereta Api Elektrik (ETS) dari KL Sentral ke Segamat, Johor.

MCMC dalam satu hantaran di Facebook berkata, ujian itu turut disertai oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebagai sebahagian daripada usaha menilai prestasi liputan secara masa nyata di salah satu koridor pengangkutan utama negara.

“Pelaksanaan ujian merentasi beberapa negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Pengukuran melibatkan parameter teknikal seperti kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan serta kesinambungan liputan,” kata MCMC.

Katanya, dapatan awal menunjukkan liputan 5G kini mencapai 71 peratus kawasan, namun beberapa lokasi tertentu dikenal pasti memerlukan penambahbaikan lanjut.

Sehubungan itu, MCMC berkata, akan terus memperkukuh pemantauan dan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan jurang liputan dapat ditangani secara berkesan.

“MCMC akan terus memperkukuh pemantauan dan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan jurang liputan dapat ditangani secara berkesan.

“Seterusnya memenuhi keperluan rakyat terhadap perkhidmatan komunikasi yang mampan dan berdaya tahan,” kata MCMC.

Anda Mungkin Berminat