PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa semua pihak agar mempercepat pelaksanaan Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Sungai Dua di Lebuhraya Utara Selatan bagi mengurangkan kesesakan trafik yang membelenggu pengguna sejak sekian lama.
Menurut Anwar, projek yang tertangguh selama bertahun-tahun itu akhirnya dapat dimulakan hasil kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan syarikat konsesi lebuh raya.
“Kita dah teliti dan rancang lama. Sekarang perlu bertindak segera. Jangan tunggu 24 atau 48 bulan, percepatkan proses supaya rakyat dapat manfaat lebih awal,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua, pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan bahawa penjimatan masa walaupun sebulan mampu memberi impak besar kepada ekonomi serta meningkatkan keselesaan rakyat di utara Semenanjung.
Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada syarikat konsesi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kerana menanggung 40 peratus kos projek, manakala baki 60 peratus ditanggung oleh kerajaan, sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan Persekutuan.
“Projek ini bukan isu politik. Ia memberi manfaat kepada semua iaitu dari Kedah, Perlis hingga Pulau Pinang. Sebab itu kita percepatkan,” tambahnya.
Anwar turut menjelaskan bahawa kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur lain seperti projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang akan diperluas ke Seberang Perai, serta naik taraf lapangan terbang di Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Kuching bagi merangsang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi negara.
Projek penyuraian trafik Juru–Sungai Dua telah lama dinantikan rakyat utara tanah air, khususnya pengguna lebuh raya yang berdepan kesesakan setiap kali waktu puncak. Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada agenda Ekonomi Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan infrastruktur strategik dan mampan.
Baca juga:








