PRN Pulau Pinang Penentu Masa Depan Projek LRT – Lim Guan Eng

GEORGE TOWN: Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dijangka menjadi isu utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, dengan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menyeru rakyat agar terus menyokong Kerajaan Perpaduan demi kelangsungan pembangunan negeri.

Dalam ucapannya semasa Majlis Rumah Terbuka Deepavali DAP Pulau Pinang 2025, Lim berkata, projek LRT bukan sekadar pelan infrastruktur tetapi lambang harapan rakyat Pulau Pinang yang telah sekian lama menantikan penyelesaian kepada kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing.

“Setelah sekian lama menanti, akhirnya impian rakyat Pulau Pinang menjadi kenyataan apabila Kerajaan Perpaduan meluluskan projek LRT sebagai langkah jangka panjang untuk menangani kesesakan lalu lintas yang semakin teruk,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa projek tersebut berisiko dibatalkan sekiranya rakyat memilih parti-parti yang secara terbuka menentangnya termasuk MCA, Gerakan, Pas dan Bersatu.

“Sebaliknya, sekiranya rakyat memilih parti-parti yang secara terbuka menentang projek LRT, seperti MCA, Gerakan, Pas dan Bersatu, maka projek penting ini berisiko dibatalkan, sekali gus menjejaskan pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kunci kepada kejayaan pelaksanaan projek LRT yang bakal mengubah landskap mobiliti dan ekonomi negeri.

“Rakyat perlu terus memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan projek LRT Pulau Pinang dapat diteruskan dengan lancar dan berjaya dilaksanakan,” katanya lagi.

Lim turut meluahkan kekecewaan terhadap tindakan pembangkang yang didakwa menjadikan projek LRT sebagai modal politik, meskipun ia jelas membawa manfaat besar kepada rakyat.

“Setakat ini, saya tidak pernah mendengar rakyat Pulau Pinang menentang projek ini kecuali daripada pemimpin pembangkang, dan kini MCA turut bersekongkol dengan mereka dalam menolak LRT.

“Projek LRT merupakan inisiatif penting untuk masa depan Pulau Pinang dan parti-parti pembangkang tidak seharusnya memainkan isu ini demi kepentingan politik sempit, hingga sanggup mengorbankan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” ujarnya.

Majlis tersebut turut dihadiri barisan pemimpin utama termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal; Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer serta Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.

Dalam pada itu, Lim menyeru rakyat Pulau Pinang agar membuat pilihan yang jelas demi masa depan negeri.

“Oleh itu, saya menyeru rakyat Pulau Pinang supaya membuat pilihan yang jelas dalam pilihan raya akan datang dan terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar projek LRT Pulau Pinang dapat direalisasikan sepenuhnya demi manfaat rakyat dan negeri ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat