Kerajaan Madani Suntik RM1.97 Bilion Kepada Pesara Bermula Januari 2026

PETALING JAYA: Kerajaan Madani memperkukuh komitmennya terhadap kebajikan pesara apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.97 bilion bagi pelaksanaan penyelarasan pencen Fasa 2 yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

Menurut kenyataan media Jabatan Perdana Menteri pada Selasa, suntikan dana berskala besar itu bukan sekadar langkah fiskal tetapi simbol penghargaan kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan hampir sejuta pesara serta penerima pencen terbitan di seluruh negara.

“Langkah ini menzahirkan kepedulian kerajaan terhadap jasa dan pengorbanan pesara yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan serta pentadbiran negara,” menurut kenyataan itu.

Penyelarasan itu dijangka memberi kelegaan kewangan yang amat diperlukan oleh golongan pesara khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ianya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan kebajikan pesara sentiasa terpelihara selaras dengan prinsip kesejahteraan yang menjadi teras Malaysia Madani.

“Kerajaan amat menghargai sumbangan para pesara yang telah menabur bakti kepada negara.

“JPA sentiasa mengambil berat tentang kesejahteraan mereka, bukan sahaja dari segi keperluan ekonomi tetapi juga kesejahteraan kesihatan dan hubungan sosial,” katanya.

Beliau turut menasihatkan para pesara agar mengurus kewangan dengan lebih berhemah dan berwaspada terhadap sebarang bentuk penipuan kewangan yang boleh menjejaskan simpanan persaraan mereka.

“Dalam hal ini, JPA terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri serta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] bagi memastikan kesejahteraan pesara diuruskan secara holistik dan berterusan,” katanya.

Anda Mungkin Berminat