PUTRAJAYA: Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan fokus utama membincangkan usaha menguruskan krisis rantaian bekalan, bahan mentah dan kos sara hidup yang semakin meruncing susulan konflik di Asia Barat.
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI mengurus situasi ini secara berfasa berpandukan data, libat urus bersama industri serta tindakan segera di lapangan.
“Keutamaan kita bukan sekadar menstabilkan harga tetapi memastikan bekalan asas kekal terjamin serta mengurangkan impak lonjakan kos mendadak kepada rakyat,” katanya.
Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada lima keutamaan iaitu menstabilkan bekalan tenaga dan input kritikal, mengawal tekanan kos kepada rakyat, memastikan projek penting tidak terbengkalai, melindungi pekerjaan dan pendapatan keluarga serta memperkukuh daya tahan ekonomi jangka panjang.
MTEN turut meneliti pembentangan Khazanah Nasional Berhad mengenai implikasi krisis bekalan global, yang kini mengubah pertimbangan pelabur kepada faktor kestabilan tenaga, akses bahan mentah dan keupayaan negara mengurus kejutan.
“Malaysia mempunyai asas yang kukuh untuk bertahan, namun saya tegaskan kekuatan ini mesti diterjemahkan kepada tindakan yang tersusun dan tegas,” ujar Anwar.
Tambah beliau, dengan peranan GLC dan GLIC yang diperkasa, kerajaan akan memastikan negara kekal stabil, rakyat dilindungi dan Malaysia berupaya bangkit dengan lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.








