Penyasaran Subsidi Diesel Kurangkan Ketirisan, Jimat RM5 Bilion Setahun

PARLIMEN | Jualan diesel bersubsidi menurun daripada 770 juta liter kepada 465 juta liter sebulan selepas pelaksanaan penyasaran semula subsidi bahan api pada 10 Jun tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Beliau berkata jumlah itu diambil kira berdasarkan tempoh lima bulan sebelum dan selepas pelaksanaan program.

“Pengurangan jualan diesel bersubsidi menunjukkan ketirisan dapat dikurangkan. Sebahagian pengurangan ini juga dijangka hasil daripada pengurangan kegiatan penyeludupan,” katanya pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Majlis Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Lim menambah, jualan diesel secara komersial meningkat selepas penyasaran subsidi, menunjukkan sebelum ini terdapat pembelian diesel bersubsidi yang digunakan untuk kegunaan komersial seperti mesin dan generator elektrik di tapak pembinaan atau kilang.

Beliau menjawab soalan tambahan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai jumlah penurunan jualan diesel, manakala bagi soalan asal berkaitan penjimatan kerajaan, Lim memaklumkan lebih RM400 juta sebulan atau sekitar RM5 bilion setahun berjaya dijimatkan.

Menurutnya, penjimatan itu membolehkan kerajaan menyalurkan semula dana untuk projek pembangunan serta bantuan sosial seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Di bawah kerangka ekonomi MADANI, pelaksanaan subsidi bersasar untuk bahan api telah menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan ketirisan, mengoptimumkan perbelanjaan fiskal dan memastikan golongan layak terus menerima manfaat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat