PUTRAJAYA: Rundingan pertama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah mengenai hak tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah akan berlangsung di Menara Kinabalu pada Isnin depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata rundingan akan dimulakan di peringkat pegawai, diketuai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bagi pihak Persekutuan, manakala Sabah diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
“Bagi Kerajaan Sabah, ia diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri memandangkan kerajaan negeri ketika ini berada di bawah caretaker,” katanya pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
Kerajaan Persekutuan minggu lalu memutuskan untuk tidak merayu terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan keputusan mahkamah berkaitan 40 peratus hasil, yang diperoleh melalui permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society.
Armizan menjelaskan, keputusan ini selaras nasihat Jabatan Peguam Negara, yang hanya merayu terhadap sebahagian daripada keputusan mahkamah berkaitan kekhilafan dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu memutuskan Kerajaan Persekutuan perlu menyemak dan membayar semula hak 40 peratus hasil bersih Sabah mengikut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, dengan tempoh persetujuan pembayaran dalam 180 hari.
Sementara itu, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata mesyuarat Kabinet turut bersetuju menamakan Armizan sebagai wakil Kerajaan Persekutuan bagi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63, menggantikan Datuk Ewon Benedick yang kini bercuti selepas meletak jawatan daripada Kabinet.
Baca juga:








