KOTA KINABALU: Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 rasmi dibuka hari ini dengan proses penamaan calon berlangsung serentak di 25 pusat penamaan bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Proses penyerahan borang pencalonan dibuka selama satu jam bermula 9 hingga 10 pagi sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) mengumumkan senarai calon yang layak bertanding.
Calon yang disahkan kemudian diberikan tempoh 14 hari untuk berkempen, iaitu sehingga jam 11.59 malam pada 28 November ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan mengingatkan semua parti bertanding dan penyokong agar menjaga ketenteraman awam sepanjang proses penamaan calon, termasuk mengelakkan provokasi di lokasi terlibat.
Bagi memastikan kelancaran PRN, SPR melantik 25 RO yang dibantu 196 Penolong Pegawai Pengurus serta 33,002 petugas.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata sebanyak 15 lokasi panas dikenal pasti memerlukan kawalan keselamatan rapi, khususnya di sekitar Kota Kinabalu dan kawasan pantai timur.
Seramai 9,300 pegawai dan anggota polis digerakkan di seluruh negeri, termasuk pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU). Daripada jumlah itu, 4,300 anggota ditempatkan di 25 pusat penamaan calon hari ini bagi mengawal trafik serta melakukan pemantauan keselamatan, termasuk di bangunan pentadbiran dan Istana Seri Kinabalu.
SPR turut menetapkan pengundian awal pada 25 November, manakala hari mengundi ditetapkan pada 29 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera serta pasangan dan 12,729 anggota polis bersama pasangan.
Dari segi agihan kerusi, PKR setakat jam 10 malam tadi mengumumkan 10 calon manakala DAP menamakan tujuh, semuanya bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Barisan Nasional (BN) yang merangkumi UMNO, MCA, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) serta seorang calon langsung akan bertanding di 45 DUN.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula mengumumkan 55 calon merangkumi Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS), USNO, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Harapan Rakyat Sabah.
Parti Warisan (Warisan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Parti Impian Sabah masing-masing menyatakan komitmen bertanding di semua 73 kerusi. Perikatan Nasional (PN) pula bakal bertanding di 41 kerusi, manakala STAR dan KDM masing-masing meletakkan 40 calon.
Sementara itu, UPKO mengesahkan bertanding di 25 kerusi, Parti Kerjasama Anak Negeri (26 kerusi), Parti Maju Sabah (SAPP) di enam kerusi dan 17 calon Bebas di bawah gelombang “Black Wave” turut menyertai saingan PRN ke-17 ini.
Baca juga:








