KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin akan diteruskan pada pukul 9.30 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, operasi yang dijalankan sejak petang Isnin terpaksa dihentikan pada pukul 11 malam kerana faktor keselamatan termasuk arus deras dan keadaan persekitaran yang gelap.
“SAR seorang lelaki berbangsa India yang dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran petang tadi akan disambung semula pada jam 9.30 pagi esok (Selasa).
“Setakat ini mangsa masih belum ditemukan, pasukan SAR yang terdiri daripada polis, bomba dan agensi lain akan menyambung pencarian esok pagi,” katanya dalam satu kenyataan ringkas tengah malam tadi.
Menurut laporan awal, mangsa merupakan salah seorang daripada 13 pekerja yang sedang melakukan kerja penambahbaikan di Sungai Klang ketika kejadian berlaku sekitar pukul 5.40 petang.
Daripada jumlah itu, 12 pekerja berjaya diselamatkan yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia, empat warga Bangladesh dan seorang rakyat tempatan.
Pasukan SAR yang melibatkan polis, bomba serta beberapa agensi lain kini menumpukan pencarian di sekitar kawasan arus deras berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang.








