Oleh: Tyah Helmi
SIKAP kebanyakan pemandu warga asing yang memandu secara berbahaya di sekitar Cyberjaya mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia, sekali gus mencetuskan amarah orang ramai.
Perkara itu dibangkitkan seorang pengguna media sosial Threads, Farah Ahmad, yang mendakwa terdapat ramai pelajar dari Timur Tengah khususnya orang Arab yang memandu tanpa mematuhi peraturan jalan raya sehingga membahayakan pengguna lain.
Menurutnya, antara kesalahan yang didakwa sering berlaku termasuk memandu laju, tidak memahami peraturan lalu lintas serta memasuki jalan sehala dari arah bertentangan.
Dia turut mendakwa beberapa insiden nyaris kemalangan berlaku melibatkan pemandu warga asing di kawasan tersebut.
“Harap polis Cyberjaya kerap memantau kerana ramai pemandu warga asing memandu seolah-olah tidak mempunyai lesen dan langsung tidak mematuhi peraturan jalan raya,” katanya menerusi hantaran itu.

Hantaran berkenaan turut menerima pelbagai amarah, reaksi dan teguran daripada pengguna lain yang berkongsi pengalaman hampir terlibat dalam kemalangan akibat tindakan pemandu dipercayai warga asing.
Seorang pengguna, queseraserra, mendakwa pernah menyaksikan sebuah kenderaan secara tiba-tiba memotong dari lorong paling kiri merentasi beberapa lorong untuk memasuki laluan kanan sehingga hampir menyebabkan kemalangan.
Dalam pada itu, terdapat juga pengguna media sosial yang menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu di Cyberjaya kerana mendakwa kejadian kemalangan melibatkan pemandu warga asing bukan lagi isu baharu di kawasan berkenaan.
Mereka mendakwa terdapat segelintir pemandu yang memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
“Dari dulu lagi ada masalah ini, dulu kereta tidak banyak pun macam sekarang tetapi kerap jugak ada accident daripada foreigner ni.
“Jadi masuk Cyberjaya ini mmg kene lebih peka dan hati-hati sebab ada yang memandu dalam keadaan yang amat merbahaya,” katanya.
Baca juga:








