Pukau minta duit, wanita dedah pengalaman didekati ‘foreigner’ di ibu kota

Oleh: Aliyaa Azmi

SEORANG pengguna Threads, @haslyndasazalie, mencetuskan perbincangan hangat selepas berkongsi pengalaman didatangi pasangan warga asing ketika berada di KL East Mall baru-baru ini.

Menurutnya, pasangan itu yang membawa ‘stroller’ menghampiri dia dan ahli keluarganya serta beberapa pengunjung lain sebelum meminta wang dengan alasan lapar dan memerlukan bantuan. Mereka juga mendakwa berasal dari Palestin.

Perkongsian itu nyata mengejutkan ramai kerana kejadian berlaku di dalam pusat beli-belah.

“Tadi dekat KL East Mall, ada pasangan warga asing dengan ‘stroller’ dekati keluarga saya dan orang sekeliling minta duit sebab lapar.

“Dia cakap dari Palestine. Tak sangka dalam pusat beli belah pun dah boleh minta sedekah macam tu,” tulisnya.

Susulan perkongsian itu, ruangan komen dibanjiri netizen yang mendakwa pernah melalui situasi hampir sama di lokasi lain.

Seorang pengguna, @shikinzolkaflee, berkongsi pengalaman di Melawati Mall apabila seorang kanak-kanak didakwa masuk ke dalam restoran sambil membawa bekas wang untuk meminta derma.

“Hari itu dekat Melawati Mall pun sama. Ramai jenis scam mengemis ni. Yang betul-betul buat saya terkejut bila ada budak Rohingya bawa bekas duit masuk dalam Boat Noodle masa orang tengah makan, siap tekan-tekan meja minta derma.

“Saya terus panggil pengawal keselamatan dan buat laporan sebab rasa tak selesa,” kongsinya.

Dalam masa sama, beberapa netizen mendakwa modus operandi serupa pernah dilihat di IOI City Mall.

“Modus operandi sama dari dulu. Pernah nampak dekat IOI City Mall Putrajaya juga. Datang dekati meja satu-satu dan cerita nak makan, nak beli susu anak,” dakwa seorang lagi pengguna.

Ada juga yang tampil memberi peringatan supaya orang ramai tidak mudah terpedaya.

“Kalau tak pasti, lebih baik jangan bagi. Zaman sekarang macam-macam cara orang guna untuk ambil kesempatan. Kalau rasa mencurigakan, terus maklumkan pada pihak keselamatan,” nasihat seorang netizen.

Bagaimanapun, setakat ini tiada kenyataan rasmi daripada pihak pengurusan pusat beli-belah mahupun pihak berkuasa berhubung dakwaan berkenaan.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak keselamatan jika berdepan situasi mencurigakan di kawasan awam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat