Anne Hathaway terima hadiah Al-Quran daripada peminat di London

PELAKON Hollywood, Anne Hathaway, menerima hadiah sebuah naskhah Al-Quran daripada seorang peminat ketika menghadiri tayangan perdana filem The Devil Wears Prada 2 di London, susulan klip temu bualnya yang tular di media sosial baru-baru ini.

Klip berkenaan memaparkan pemenang Anugerah Akademi itu menggunakan ungkapan bahasa Arab “InsyaAllah” secara santai ketika ditemu bual majalah People mengenai harapannya untuk masa depan.

“Saya mahu hidup lama dan sihat, InsyaAllah. Saya harap begitu,” katanya dalam temu bual tersebut.

Rakaman itu kemudiannya tular dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan sebahagian memuji keterbukaannya terhadap penggunaan ungkapan berbeza budaya, manakala sebahagian lain memberikan kritikan.

Dalam acara tayangan perdana berkenaan, satu video turut menunjukkan seorang peminat menyerahkan Al-Quran kepada pelakon berusia 43 tahun itu ketika beliau berinteraksi dengan peminat.

Tindakan tersebut turut mengundang reaksi bercampur dalam talian, ada yang melihatnya sebagai satu bentuk penghormatan, namun ada juga yang mempertikaikan kesesuaiannya.

Perkembangan ini sekali lagi menunjukkan bagaimana kenyataan selebriti boleh mencetuskan perbincangan meluas di media sosial, khususnya apabila melibatkan isu budaya dan sensitiviti agama.

Anda Mungkin Berminat