SEREMBAN: Isu tular membabitkan sebuah sekolah di Senawang baru-baru ini berpunca daripada salah faham komunikasi antara pelajar, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, perkara itu telah diteliti selepas pihak sekolah memberikan penjelasan hasil siasatan dalaman berhubung dakwaan yang tersebar di media sosial.
Menurutnya, siasatan mendapati isu berkenaan tidak menggambarkan keadaan sebenar seperti yang didakwa dalam video tular tersebut.
“Setiausaha Akhbar saya telah bertemu dengan pihak sekolah dan PIBG bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi yang berlaku.
“Sesi penjelasan itu turut dihadiri pihak pentadbiran SMK Senawang serta wakil PIBG.
“Hasil perbincangan mendapati tiada unsur pelajar dipinggirkan atau dikecualikan daripada program kecemerlangan seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Aminuddin berkata, isu yang timbul difahamkan berpunca daripada salah faham komunikasi antara pihak terlibat.
“Perkara seumpama itu seharusnya diselesaikan secara dalaman tanpa perlu diperbesarkan di media sosial.
“Isu seperti ini tidak perlu ditularkan kerana ia boleh menjejaskan imej pelajar, sekolah dan PIBG,” katanya.
Menurutnya lagi, penyebaran maklumat tidak tepat hanya akan mengundang persepsi negatif terhadap institusi pendidikan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat serta menghormati proses penyelesaian dalaman yang telah dibuat.
Terdahulu, tular di TikTok dakwaan seorang individu bahawa adik sepupunya yang memperoleh keputusan 9A dalam SPM hanya menerima sampul kosong tanpa sijil rasmi ketika majlis anugerah kerana kegagalan menjelaskan yuran PIBG.








