SUNGAI PETANI: Kisah dua beradik, Rayhan dan Mateen yang menghidap penyakit hydrocephalus telah menyentuh hati Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari sehingga beliau mengambil mereka sebagai anak angkat.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook, selepas penderitaan keluarga berkenaan disuarakan kepada beliau beberapa minggu lalu.
Taufiq menzahirkan rasa simpati terhadap ujian besar yang ditanggung oleh kedua-dua kanak-kanak itu bersama keluarga mereka.
Beliau berkata, bantuan telah disalurkan sebelum ini bagi meringankan beban keluarga tersebut, selain turut hadir menziarahi mereka di Sungai Petani, Kedah pada Ahad lalu.
Dalam kunjungan itu, Taufiq berkesempatan melihat sendiri keadaan Rayhan dan Mateen serta mendengar pengalaman keluarga tersebut menghadapi cabaran berkenaan.
Beliau turut menyerahkan sedikit sumbangan sebagai tanda keprihatinan.
Taufiq yang juga Menteri Belia dan Sukan turut memaklumkan komitmennya untuk menaja keperluan kedua-dua beradik itu selepas ini.
“Rayhan dan Mateen kini anak angkat saya,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar keluarga berkenaan terus kuat dan tabah dalam menghadapi ujian yang sedang dilalui.








