Kehadiran Tokoh Besar Pas Tidak Bantu, Risiko Jejas Sokongan Di Sabah – Penganalisis

PETALING JAYA: Kehadiran pimpinan tertinggi Pas dari Semenanjung dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat tidak memberi kelebihan besar kepada parti itu, malah berpotensi menjejaskan sokongan pengundi tempatan.

Pensyarah Program Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, sentimen penolakan terhadap parti dari Semenanjung masih kuat dalam kalangan pengundi khususnya di kawasan yang mempunyai komposisi etnik bercampur.

“Sebab itu saya melihat kehadiran figura besar Pas nasional tidak banyak membantu, bahkan sedikit sebanyak berisiko merugikan,” katanya ketika mengulas kedudukan Pas di beberapa kerusi yang ditandingi.

Menurut beliau, peluang terbaik Pas terletak di kerusi N16 Karambunai, kawasan pinggir bandar dengan kepelbagaian etnik serta kehadiran pengundi anggota tentera laut yang cenderung kepada Perikatan Nasional (PN).

Dr Mohd Yusri menjelaskan, kekuatan utama Pas di situ bergantung kepada calonnya, Dr Aliakbar, yang sudah lama berkhidmat dan diterima baik oleh komuniti setempat.

Namun, persaingan tetap sengit kerana calon daripada BN, Warisan dan GRS turut mempunyai pengaruh besar.

“Empat calon mempunyai kekuatan masing-masing. Ini bukan perlawanan mudah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Katanya, cabaran Pas bertambah apabila label ‘parti Malaya’ masih berakar umbi dalam kalangan pengundi Sabah, menjadikan pendekatan berlebih-lebihan tokoh luar berisiko menimbulkan ketidakselesaan.

Sementara itu, Dr Mohd Yusri menyifatkan peluang AMANAH di kerusi N64 Sulabayan jauh lebih sukar kerana kawasan itu merupakan kubu kuat Warisan.

Namun, katanya, percubaan AMANAH tetap penting sebagai latihan untuk memperkukuh kehadiran parti itu dalam politik Sabah.

Pada PRN kali ini, Pas bertanding lebih banyak kerusi dengan Karambunai dianggap sebagai pertarungan utama, manakala AMANAH mencuba nasib di Sulabayan yang lama dikuasai Warisan.

Anda Mungkin Berminat