Wong Chen Boleh Berundur, Jika Tak Sehaluan – PKR Subang

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Subang secara terbuka mempersoalkan komitmen Ahli Parlimen Subang, Wong Chen terhadap perjuangan parti.

Dan memberi isyarat jelas bahawa beliau wajar berundur jika tidak lagi sehaluan dengan matlamat reformasi.

Timbalan Ketua PKR Subang, Wan Hasifi Amin, memetik laporan FMT lantang menyuarakan rasa kecewa terhadap sikap Wong yang dilihat menjauhkan diri daripada akar umbi sejak pemilihan parti pada 2022.

“Sudah hampir dua tahun beliau tidak menghadiri mesyuarat cabang.

“Kami masih menunggu penubuhan jawatankuasa PH Parlimen Subang yang tidak pernah wujud hingga kini.

“Sikap ini mencerminkan keengganan beliau untuk terlibat secara aktif dalam menggerakkan parti,” kata Wan Hasifi.

Menurutnya, cabang Subang sudah hilang keyakinan terhadap Wong, yang kini seolah-olah tidak lagi berminat untuk memainkan peranan sebagai pemimpin rakyat di peringkat akar umbi.

“Kami tidak perlukan wakil rakyat yang hanya muncul di Parlimen tetapi ghaib di kawasan sendiri.

“Jika beliau merasakan perjuangan ini tidak lagi bermakna, beliau perlu berundur secara terhormat, bukan bercuti di luar negara sambil berfikir panjang,” tegasnya.

Kenyataan itu hadir susulan pengumuman Wong menerusi Facebook bahawa beliau kini bercuti di Perancis selama dua minggu untuk “menilai masa depan politiknya” dan meluahkan kekecewaan terhadap kurangnya hasil reformasi kerajaan – sesuatu yang dilihat sebagai isyarat awal untuk menjauhkan diri daripada pentas politik nasional.

Wong sebelum ini gagal mempertahankan kedudukan dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR dan dilihat rapat dengan kem Rafizi Ramli, yang turut mengalami kejatuhan selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

Rafizi kemudian meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Kritikan terbuka daripada PKR Subang memberi gambaran jelas bahawa sokongan dalaman terhadap Wong kian pudar dan masa depannya dalam parti kini tergantung antara setia atau berundur.

Anda Mungkin Berminat