PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Moyog, Remysta Jimmy Taylor bersama Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar pagi ini turun padang menyantuni komuniti di Pekan Donggongon, Penampang Sabah.
Program walkabout itu turut disertai oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi yang berkongsi pengalaman berkenaan dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu. Menurut Farhan, suasana pagi itu begitu hangat dan penuh semangat.
“Melihat sambutan penduduk, jelas mereka mahu Moyog terus maju dengan kepimpinan wakil rakyat yang dekat dengan rakyat,” kata Farhan.
Dalam aktiviti itu, Remysta meluangkan masa bertanya khabar, mendengar cerita, dan memahami denyut nadi komuniti setempat. Beliau menyeru pengundi agar memberi kepercayaan kepadanya pada pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu, Nurul Izzah Anwar menyatakan bahawa penerimaan orang ramai terhadap Pakatan Harapan (PH) dan calon mereka dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 amat menggalakkan.
Beliau menyifatkan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah minggu lalu, serta penekanan beliau terhadap kepentingan ekonomi negeri sebelum tempoh kempen rasmi, sebagai faktor yang menyumbang kepada respons positif rakyat.
“Selepas kempen dan selepas hari pengundian, ia tentang bagaimana wakil rakyat dapat memberikan perkhidmatan dan membantu menyelesaikan isu dalam jangka pendek, sederhana dan panjang, kerana kita tahu tidak semua masalah boleh diselesaikan dalam 24 jam.” katanya dipetik Malay Mail.
Pengundian ditetapkan pada 29 November, manakala undi awal adalah pada 25 November.
N26: Moyog, Sabah: 31,084 pengundi
Peter Maurice Lidadun (Bebas)
Cleftus Stephen Spine (PIS)
Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO)
Francis Mojikon (PN-Bersatu)
Richard Ronald Dompok (PKS)
Ricky Chang Onn Pin @ Ricky Richard (Bebas)
Walter Norbert Johnny (PBK)
Joeynodd Aiiko Ronald C Bansin (GRS-PBS)
Mckery Victor Ninin (KDM)
Joseph Suleiman (STAR)
Terrence Siambun (Warisan)
Remysta Jimmy Taylor (PH-PKR)
(2020: Datuk Ignatius Darell Leiking: Warisan Plus-Warisan: Majoriti 5,935)
Baca juga:








