PRN Sabah: Manifesto Zaidi Jatil, Tambah Klinik Desa Di Kawasan Pedalaman

BANDAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Zaidi Jatil berjanji akan menambah bilangan klinik desa di kawasan pedalaman dan sukar diakses sekiranya diberikan mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Menurut beliau, langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen untuk memastikan rakyat di kawasan terpencil tidak tercicir daripada mendapat perkhidmatan kesihatan yang mencukupi dan berkualiti.

“Kami memahami cabaran yang dihadapi penduduk pedalaman, termasuk jarak jauh ke fasiliti kesihatan dan kekangan infrastruktur.

“Oleh itu, penambahan klinik desa akan memudahkan mereka mendapatkan rawatan dengan lebih cepat dan selamat,” katanya ketika berucap pada Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di Bandau, Sabah pada Rabu.

Zaidi turut menekankan bahawa usaha itu akan dilengkapkan dengan perkhidmatan van hospital percuma bagi warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik selain bantuan rawatan hospital sehingga RM20,000 setahun bagi mereka yang memerlukan.

Beliau yakin langkah itu akan meningkatkan kesejahteraan masyarakat khususnya mereka yang selama ini berdepan kesukaran mendapatkan rawatan perubatan di kawasan terpencil.

“Kesihatan rakyat adalah keutamaan dan kami mahu pastikan tiada siapa tercicir daripada mendapatkan rawatan asas,” tambahnya.

Selain sektor kesihatan, manifesto beliau turut memberi tumpuan kepada pendidikan dengan janji menyelesaikan masalah sekolah di daerah termasuk pembinaan SRK Lampung dan SRK Pengpungan.

Beliau juga berhasrat menubuhkan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Muda serta menyediakan kelas tuisyen percuma untuk pelajar.

Kerusi DUN Bandau (N06) yang mempunyai 27,390 pengundi berdaftar bakal menyaksikan pertandingan sengit dengan 13 calon bertanding.

Pada PRN 2020, kerusi itu dimenangi oleh Datuk Wetrom @ Mohd Fikri Bahanda daripada PN-Bersatu dengan majoriti 3,303 undi.

Pengundian bagi PRN Sabah ditetapkan pada 29 November, manakala undi awal akan berlangsung pada 25 November.

Anda Mungkin Berminat