PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap Setiausaha Politiknya berhubung isu surat sokongan perlu dibuat berdasarkan kewajaran dan tahap kesalahan, bukannya desakan semasa atau tekanan politik.
Menurut beliau, tiada keperluan untuk membuat laporan atau mengambil tindakan lebih berat kerana perkara itu telah pun ditegur, selain tidak melibatkan salah laku serius.
“Lihat kewajaran situasi tersebut. Ini bukan salah laku. Namun apabila menyentuh soal surat sokongan, peraturan dan prinsip kerajaan memang tidak membenarkan ia dikeluarkan,” katanya dipetik Astro Awani.
Anwar berkata demikian ketika mengulas cadangan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang menyarankan agar Setiausaha Politik Perdana Menteri dipecat susulan dakwaan mengeluarkan surat sokongan kepada kontraktor sebuah projek hospital.
Rafizi sebelum ini menamakan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sebagai individu yang didakwa mengeluarkan surat berkenaan menerusi satu hantaran video di Facebook.
Beliau turut berpendapat Perdana Menteri perlu menunjukkan ketegasan dalam usaha memerangi rasuah dengan mengambil tindakan pemecatan dan bukan sekadar memberikan teguran.








