Abdul Halim Dilantik KSU Kementerian Komunikasi, Meor Ismail Terajui NADMA

PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan dua pelantikan penting dalam perkhidmatan awam berkuat kuasa 24 November ini, melibatkan Datuk Abdul Halim Hamzah sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi yang baharu, manakala Meor Ismail Meor Akim dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menzahirkan ucapan tahniah kepada Abdul Halim atas pelantikan tersebut.

Shamsul berkata, Abdul Halim merupakan graduan Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan pemegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Putra Malaysia.

“Beliau (Abdul Halim) telah menabur bakti dalam perkhidmatan awam selama hampir 30 tahun, bermula sebagai Penolong Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (Kewangan dan Pembangunan) di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2023 sebelum memimpin Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai Ketua Pengarah,” katanya.

Shamsul berkata, dengan pengalaman kepimpinan yang luas serta rekod perkhidmatan yang cemerlang, beliau yakin Abdul Halim akan memperkukuh penyampaian perkhidmatannya dan terus menyumbang kepada kesejahteraan serta kemakmuran negara.

Dalam kenyataan sama, Shamsul turut mengumumkan pelantikan Meor Ismail sebagai Ketua Pengarah NADMA yang baharu.

Meor Ismail, 56, merupakan graduan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya dan telah berkhidmat selama lebih 31 tahun dalam perkhidmatan awam.

“Beliau (Meor Ismail) telah berkhidmat selama lebih 31 tahun dalam perkhidmatan awam, bermula sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Kewangan.

“Pada tahun 2019, beliau menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Perak dan pada 2021, beliau ditempatkan sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Operasi), NADMA,” katanya.

Difahamkan, jawatan terakhir Meor Ismail ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Shamsul menzahirkan keyakinan bahawa Meor Ismail akan memimpin NADMA dengan penuh dedikasi.

“Pelantikan ini menentukan keupayaan negara untuk memperkukuh sistem pengurusan bencana yang lebih efisien, bersepadu dan responsif,” katanya.

Anda Mungkin Berminat