BN Perkenal 6 Teras Utama Manifesto PRN Sabah Ke-17

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) pada Sabtu melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1), sebuah pelan menyeluruh yang menumpukan kepada enam teras utama pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, RPS1 dirangka dengan teliti bagi memastikan keperluan rakyat Sabah dapat dipenuhi secara menyeluruh.

“RPS1 disusun rapi bagi memenuhi keperluan seluruh rakyat Sabah.

“Politik bukan matlamat, tetapi wadah membangunkan Sabah,” katanya dipetik Berita Harian.

Antara inti pati utama RPS1 termasuk usaha memperkukuh kemakmuran ekonomi dengan penubuhan Dana Kemakmuran Negeri Sabah, pembinaan 15,000 unit rumah mampu milik setiap tahun serta pelaksanaan projek Lapangan Terbang Antarabangsa baharu dan pembangunan Pelabuhan Kudat yang akan digabungkan dengan Zon Perdagangan Bebas.

Dalam aspek sosial, BN berjanji menubuhkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah, selain memperkenalkan Koperasi Usahawan Anak Muda di setiap daerah melalui program mentor syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Bagi teras pendidikan, BN mahu menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar B40 di institusi pengajian tinggi negeri, di samping memberi insentif one-off antara RM2,000 hingga RM2,500 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat diploma dan ijazah.

Manifesto itu turut menekankan aspek transformasi politik dan tadbir urus dengan cadangan penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam teras masyarakat sihat dan negeri berkebajikan, BN merancang membangunkan perkampungan Sanggar Kasih untuk warga emas, manakala bagi kelestarian sumber alam, BN mencadangkan penubuhan Majlis Petroleum Sabah serta pengambilan pekerja berkemahiran tinggi tempatan.

BN akan bertanding di 45 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan menampilkan 81 peratus calon muka baharu, hampir separuh daripadanya terdiri daripada golongan profesional dan anak muda.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November, manakala undi awal berlangsung pada 25 November.

Seramai 1,784,843 pengundi layak menunaikan tanggungjawab, termasuk anggota tentera dan polis bersama pasangan.

Anda Mungkin Berminat