EAIC Dedah Ketidakpatuhan Lesen Perikanan, Syor Tindakan Tatatertib

PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku ketidakpatuhan serius dalam proses kelulusan 54 lesen perikanan melibatkan dua syarikat yang diproses oleh pegawai Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) di enam negeri dan Ibu Pejabat DOF.

EAIC berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 28 Akta EAIC 2009 selepas meneliti prosedur dan dasar pelesenan yang didakwa tidak dipatuhi dalam proses permohonan dan kelulusan vesel tersebut.

“Siasatan mendapati wujud ketidakpatuhan serta unsur jenayah pemalsuan dokumen yang boleh disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” menurut kenyataan itu.

Susulan itu, EAIC mencadangkan pegawai terbabit dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib DOF dengan syor tindakan mengikut Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atas kesalahan tidak bertanggungjawab, ingkar perintah dan cuai.

Siasatan juga akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut, termasuk cadangan membuka siasatan jenayah terhadap suspek yang dikenal pasti.

Pada masa sama, EAIC mengemukakan lima cadangan penambahbaikan, termasuk pembatalan lesen yang diperoleh melalui prosedur tidak teratur, penyediaan garis panduan kelulusan ubah suai vesel melebihi 20 peratus, serta penetapan had lesen bagi setiap syarikat.

Turut dicadangkan ialah penambahbaikan sistem pengurusan fail di pejabat perikanan daerah dan penambahbaikan sistem e-Lesen bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan proses pelesenan.

Siasatan ini dijalankan selepas EAIC menerima maklumat berhubung keraguan dalam proses pelesenan DOF, sekali gus mencetuskan semakan menyeluruh terhadap prosedur dan pematuhan dalaman jabatan tersebut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat