PETALING JAYA: Negara-negara ASEAN mencapai kata sepakat untuk memperkukuh ekosistem e-dagang serantau melalui pelaksanaan ASEAN Joint Vision on a Trusted and Inclusive E-Commerce Ecosystem 2030, sekali gus menandakan komitmen baharu ke arah ekonomi digital yang lebih telus dan inklusif.
Persetujuan itu dimuktamadkan pada Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 yang berlangsung selama dua hari dan dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh.
Inisiatif bersama ini penting untuk membina kepercayaan pengguna serta memastikan platform digital lebih bertanggungjawab dalam mengurus transaksi dan data.
“Persidangan berkenaan menghimpunkan pembuat dasar, pengawal selia, pemain industri, pakar digital dan organisasi antarabangsa bagi membincangkan hala tuju serantau dalam memperkukuh integrasi ekonomi digital.” menurut kenyataan itu.
Acara itu turut dianjurkan bersama Malaysian International Chamber of Commerce and Industry (MICCI) serta National Chamber of Commerce and Industry of Malaysia (NCCIM), sebagai usaha memperkukuh peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Melalui persepakatan tersebut, ASEAN bersetuju meningkatkan kepercayaan pengguna, memperketat akauntabiliti platform digital dan menggalakkan amalan perniagaan yang lebih bertanggungjawab di seluruh rantau.
Inisiatif ini juga memberi tumpuan kepada akses lebih inklusif untuk perusahaan mikro, usahawan wanita dan komuniti luar bandar yang masih berdepan jurang digital, selain memudahkan penyelarasan rentas sempadan bagi melancarkan urus niaga e-dagang.
KPDN dalam kenyataan berkata komitmen melalui visi bersama itu akan menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem e-dagang serantau yang lebih kukuh dan berdaya tahan, dengan Malaysia kekal komited memperkukuh dasar serta kawal selia demi manfaat rakyat ASEAN.
Persidangan E-Dagang ASEAN menjadi platform penting sejak kali pertama dianjurkan, mengukuhkan usaha rantau ini memperluas integrasi digital dan memperkasa ekonomi berasaskan teknologi.
Baca juga:








