Oleh: Liew Chin Thong
ULASAN | PADA 24 November 2022, setelah hampir 25 tahun lalu dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudiannya dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 setelah tiada parti mendapat majoriti mudah selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tiga tahun selepas itu, khususnya selepas kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, semakin ramai orang yakin bahawa Perdana Menteri telah menjalankan tugasnya dengan baik berbanding saingan-saingan politiknya seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Jadi, apakah langkah seterusnya?
Saya yakin Anwar mampu memenangi penggal kedua, jika:
- Majoriti rakyat Malaysia berasa kehidupan mereka bertambah baik berbanding keadaan sebelum beliau mengambil alih pentadbiran dan percaya kehidupan akan semakin baik bagi tahun-tahun mendatang;
- UMNO terus menyokong beliau dan bersetuju dengan pembahagian kerusi pilihan raya dengan Pakatan Harapan โ ini akan membolehkan pertandingan satu lawan satu dengan Perikatan Nasional di Semenanjung;
- Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menyokong beliau dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan UMNO dan/atau Barisan Nasional selepas penggal ini; dan
- Kerajaan Sabah yang akan ditubuhkan selepas pilihan raya pada 29 November ini boleh bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun, usaha memenangi penggal kedua yang meyakinkan ini hanyalah satu permulaan untuk misi Anwar yang lebih penting, iaitu membentuk tatanan politik baharu Malaysia.
Jika berjaya mewujudkan tatanan baharu ini, beliau akan dilihat sebagai pemimpin yang mampu meletakkan kedudukannya setaraf dengan Tunku Abdul Rahman Al-Haj selaku Bapa Kemerdekaan dan Tun Abdul Razak Hussein selaku Bapa Pembangunan, yang seterusnya dapat mengatasi prestasi Tun Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang menjadi Perdana Menteri paling lama, malah dua kali berada di tampuk kuasa.
Menurut Francis Fukuyama dalam bukunya ๐๐ฐ๐ญ๐ช๐ต๐ช๐ค๐ข๐ญ ๐๐ณ๐ฅ๐ฆ๐ณ ๐ข๐ฏ๐ฅ ๐๐ฐ๐ญ๐ช๐ต๐ช๐ค๐ข๐ญ ๐๐ฆ๐ค๐ข๐บ: ๐๐ณ๐ฐ๐ฎ ๐ต๐ฉ๐ฆ ๐๐ฏ๐ฅ๐ถ๐ด๐ต๐ณ๐ช๐ข๐ญ ๐๐ฆ๐ท๐ฐ๐ญ๐ถ๐ต๐ช๐ฐ๐ฏ ๐ต๐ฐ ๐ต๐ฉ๐ฆ ๐๐ญ๐ฐ๐ฃ๐ข๐ญ๐ช๐ป๐ข๐ต๐ช๐ฐ๐ฏ ๐ฐ๐ง ๐๐ฆ๐ฎ๐ฐ๐ค๐ณ๐ข๐ค๐บ, idea mengenai tatanan politik melibatkan satu susunan institusi-institusi politik yang mentakrif negara (state), menjamin kedaulatan undang-undang, dan melaksanakan akauntabiliti demokrasi.
Gary Gerstle pula dalam bukunya ๐๐ฉ๐ฆ ๐๐ช๐ด๐ฆ ๐ข๐ฏ๐ฅ ๐๐ข๐ญ๐ญ ๐ฐ๐ง ๐ต๐ฉ๐ฆ ๐๐ฆ๐ฐ๐ญ๐ช๐ฃ๐ฆ๐ณ๐ข๐ญ ๐๐ณ๐ฅ๐ฆ๐ณ: ๐๐ฎ๐ฆ๐ณ๐ช๐ค๐ข ๐ข๐ฏ๐ฅ ๐ต๐ฉ๐ฆ ๐๐ฐ๐ณ๐ญ๐ฅ ๐ช๐ฏ ๐ต๐ฉ๐ฆ ๐๐ณ๐ฆ๐ฆ ๐๐ข๐ณ๐ฌ๐ฆ๐ต ๐๐ณ๐ข, mengemukakan hujah bahawa sesebuah tatanan adalah โgabungan ideologi, dasar dan konstituensi yang membentukโฆpolitik yang lebih meluas daripada sekadar kitaran pilihan raya.โ
Menyentuh tentang tatanan politik Malaysia, saya bertuah kerana berpeluang membincangkan hal ini dengan penyelia tesis saya Dr John Funston kira-kira dua dekad lalu.
Beliau berpendapat bahawa Tun Razak merupakan seorang Perdana Menteri yang paling penting walaupun tidak lama memegang jawatan itu. Kejayaannya ialah mewujudkan sebuah tatanan politik baharu yang kekal buat berdekad-dekad lamanya.
Malah, tatanan yang mula dibinanya sejak 1970 itu hanya runtuh 48 tahun kemudian sewaktu era anaknya sendiri Datuk Seri Najib Razak.
Melalui pemerhatiannya, Funston berpandangan bahawa walaupun Dr Mahathir mengharumkan nama Malaysia di arena antarabangsa, struktur politik dan ekonomi hanyalah kesinambungan daripada era Tun Razak.
Kekuatan Tun Razak pula diperkukuhkan dengan sokongan timbalannya Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang bijak, cekap dan mahir serta barisan kepimpinan dan tenaga birokrat kerajaan.
Bagi Tunku Abdul Rahman yang berjaya mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris, negara yang dibangunkannya bersifat pro-Barat dan tidak banyak campur tangan dalam bidang ekonomi yang ketika itu bergantung kepada komoditi dan perladangan dengan sedikit industri moden.
Menjelang akhir dekad 1960-an, keadaan itu menyebabkan ramai anak muda yang menganggur menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan. Namun begitu, pujian perlu diberikan kepada pentadbiran Tunku kerana Kerajaan Perikatan pimpinannya yang bersifat pelbagai kaum, tidak mengekang kebebasan rakyat, dan kurang mengongkong hak-hak negeri.
Apabila Tun Razak mengambil alih kuasa pada 1970, Allahyarham memusatkan kuasa kepada UMNO – melalui komponen-komponen gabungan baharu ketika itu Barisan Nasional dan kepada birokrat Persekutuan melalui negeri-negeri.
Kesan daripada peristiwa 13 Mei, pentadbiran Tun Razak mula mengawal kebebasan rakyat dan bertindak lebih keras termasuk menahan Anwar selaku pemimpin pelajar di bawah undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri di antara tahun 1974 dan 1976).
Pada masa yang sama, Tun Razak berani memilih pemimpin muda yang berbakat, ramai antara mereka kekal lama seperti Dr Mahathir, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Haniff Omar (yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada usia 35 tahun).
Dasar luar Razak juga berubah menjadi lebih neutral melalui pendekatan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali ASEAN (ZOPFAN) yang kekal relevan di rantau ini serta bagi seluruh dunia.
Pentadbiran Allahyarham juga telah campur tangan dalam bidang ekonomi melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan matlamat untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat yang masih menjadi perbalahan antara kaum-kaum di Malaysia.
Namun, dasar perindustrian berasaskan eksport yang diamalkannya telah dapat membangunkan negara ini. Model ‘outsourcing’ dari Barat ke Malaysia yang turut dimulakan sewaktu era Tun Razak telah berjaya berkembang sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an.
Apabila Dr Mahathir pula menjadi Perdana Menteri pada 1981 dan menjelang dekad 1990-an, beliau mempunyai peluang keemasan untuk membentuk satu tatanan politik dan ekonomi yang baharu.
Beliau sepatutnya boleh memberi lebih ruang kepada timbalannya Anwar untuk mengurus, sebagai persediaan untuk menggantikannya nanti. Tetapi itu tidak dilakukannya.
Apatah lagi 1990-an merupakan dekad yang penuh menjanjikan harapan. Dengan tema hebat Wawasan 2020 dan idea Bangsa Malaysia, negara kita sepatutnya sudah berjaya sebagai:
- Sebuah negara yang meraikan kepelbagaian warisan kaum dan budaya yang membentuk identiti Malaysia yang baharu.
- Sebuah demokrasi yang membuka ruang demokratik lebih luas bagi penyertaan rakyat dalam penggubalan dasar dan perbincangan masa hadapan negara.
- Sebuah negara yang mempunyai kerajaan-kerajaan negeri yang diperkasakan bagi membolehkan wujudnya pusat-pusat ekonomi wilayah tanpa terlalu bertumpu di Lembah Klang sahaja.
- Anjakan besar-besaran daripada amalan ‘Made in Malaysia’ (pembuatan produk secara ‘outsource’ untuk Barat dan negara lain) kepada ‘Made by Malaysia’ (inovasi syarikat-syarikat teknologi Malaysia).
- Sebuah negara maju dalam banyak aspek di mana warganya juga berpendapatan tinggi dan hidup makmur.
Sayangnya, impian itu gagal dicapai. Dekad 1990-an berakhir dengan kekecewaan apabila yang lama (Dr Mahathir) masih mahu mengekalkan cara lama manakala yang baharu (Anwar) meringkuk dalam penjara.
Krisis Kewangan Asia 1997 dan penyertaan China ke dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 2001 menenggelamkan peranan Malaysia sebagai salah satu kuasa ekonomi di rantau ini sepanjang dua dekad seterusnya.
Malah, Malaysia kemudiannya dijadikan contoh oleh Bank Dunia sebagai sebuah negara yang terperangkap dalam ‘middle income trap’.
Walaupun begitu, langit tidak selalunya gelap. Tun Dr Mahathir dan Anwar yang akhirnya dapat duduk bersama dalam satu gabungan berpeluang untuk membina semula Malaysia.
Peluang ini datang sewaktu era kerajaan Pakatan Harapan yang pertama pada 2018. Sayangnya, ini juga gagal menjadi kenyataan.
Kini, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus bangkit. Persoalannya ialah, adakah sebuah tatanan politik baharu akan muncul untuk menentukan hala tuju negara bagi dekad-dekad mendatang?
Saya percaya Anwar akan memenangi penggal kedua. Harapan saya ialah beliau bersama para pemimpin Kerajaan Madani termasuk semua rakyat Malaysia, berani dan sanggup membentuk satu tatanan politik baharu.
Kita boleh sama-sama membangunkan negara dengan teknologi yang terkini, demokrasi yang rancak, persekutuan yang lebih prihatin kepada keperluan negeri-negeri dan kelas pertengahan yang kukuh, di samping memastikan tiada warga yang akan dipinggirkan.
Tidak banyak negara dan wilayah yang dapat melonjakkan ekonomi dan teknologi mereka dengan pantas sepanjang 80 tahun setelah berakhirnya Perang Dunia Kedua. Di Asia, hanya Jepun, Korea Selatan, Taiwan, dan kemudiannya China, berjaya melaksanakannya.
Malaysia telah terlepas peluang ini hampir tiga dekad yang lalu. Kini masanya tiba untuk tatanan politik dan ekonomi yang baharu.
Kita perlu menghasilkan pekerjaan berkualiti dengan gaji yang lebih baik dan lebih banyak peluang perniagaan kepada warga Malaysia. Kita perlu mengangkat keluarga-keluarga Malaysia yang miskin daripada tekanan ekonomi agar dapat bersama membina kehidupan yang lebih terjamin dan makmur.
Setelah tiga tahun memimpin negara, Anwar mempunyai peluang keemasan untuk membina semula negara serta membentuk satu tatanan politik baharu yang dapat bertahan selama beberapa dekad akan datang.
***Penulis merupakan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri








