PARLIMEN | Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru seluruh masyarakat memainkan peranan dalam memastikan wanita dihormati dan dilindungi daripada sebarang bentuk keganasan.
Beliau berkata demikian bersempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita yang disambut pada 25 November setiap tahun, dengan memilih untuk mengenakan pakaian berwarna jingga (oren) sebagai simbol solidariti global.
“Warna oren ini membawa makna harapan, harapan untuk dunia yang lebih selamat, lebih damai dan bebas daripada segala bentuk keganasan terhadap wanita,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamad turut menegaskan bahawa jutaan wanita masih berdepan ancaman fizikal, emosi, ekonomi dan sosial, justeru tanggungjawab melindungi mereka harus dipikul oleh semua lapisan masyarakat.
“Dalam apa jua kedudukan kita, baik sebagai suami, bapa, adik-beradik, rakan sekerja atau pemimpin, kita ada tanggungjawab untuk memastikan wanita dihormati dan dilindungi,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha memperkasa wanita perlu diteruskan agar mereka mendapat hak dan perlindungan sewajarnya dalam persekitaran yang selamat dan menyokong.
Katanya, perubahan besar dalam menangani keganasan gender bermula dengan kesedaran serta tindakan kecil dalam kehidupan seharian.
Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita merupakan sebahagian daripada kempen global anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meningkatkan kesedaran dan memperkukuh usaha membanteras keganasan berasaskan gender di seluruh dunia.
Baca juga:








