Kerajaan Peruntuk RM5 Juta Buka Lebih Banyak Tabika Khas KEMAS Mulai 2026

PARLIMEN | Kerajaan merancang memperuntukkan RM5 juta pada tahun 2026 bagi memperluas pembukaan Tabika Tunas Istimewa (KEMAS) khusus untuk kanak-kanak berkeperluan khas di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, peruntukan itu akan meliputi pembaikan bangunan, pembelian peralatan, latihan guru, Bantuan Makanan Tambahan (BMT), Geran Per Kapita (GPK) dan elaun kanak-kanak.

“Bagi 2026, anggaran kos RM5 juta merangkumi pembaikan bangunan, pembelian peralatan, latihan guru, BMT, GPK, elaun kanak-kanak serta bayaran kepada PM, PPM dan PPMS di 14 Tabika Tunas Istimewa@KEMAS seluruh negara,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Rubiah turut memaklumkan bahawa pada tahun ini sahaja, sebanyak RM457,696 telah dibelanjakan untuk baik pulih bangunan, pembelian peralatan, pembangunan modul, latihan guru serta BMT.

Beliau berkata, pembangunan tabika khas ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menyediakan pendidikan awal yang inklusif.

“Pembangunan Tabika Tunas Istimewa (KEMAS) selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperluaskan akses pendidikan awal yang inklusif, berkualiti dan holistik kepada semua lapisan masyarakat, khususnya kanak-kanak berkeperluan khas,” katanya.

Menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN–Jeli), Rubiah berkata, setiap tabika dijangka menerima sekitar RM150,000, merangkumi BMT, GPK dan elaun kanak-kanak.

“Program ini bermula sebagai projek perintis di Melaka dengan pelancaran rasmi pada 16 Ogos di Jasin, Melaka Tengah dan Masjid Tanah,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan, KEMAS akan membuka 14 tabika baharu pada 2026, satu di setiap negeri, sebelum diperluas lagi pada 2027 melalui konsep Satu Daerah, Satu Tabika Tunas Istimewa (KEMAS).

Anda Mungkin Berminat