Rapid KL nafi wujud gangguan LRT Kelana Jaya

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn Bhd menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlakunya gangguan perkhidmatan di Laluan Kelana Jaya seperti yang dilaporkan beberapa media.

Menerusi satu kenyataan media pada Jumaat, syarikat itu memaklumkan perkhidmatan tren di bawah kendalian Rapid KL beroperasi mengikut jadual waktu puncak yang ditetapkan tanpa sebarang gangguan luar biasa.

Rapid Rail Sdn Bhd berkata, tiada kesesakan luar jangka dilaporkan sama ada di stesen mahupun di dalam tren sepanjang tempoh berkenaan.

“Perkhidmatan tren berjalan seperti biasa mengikut kekerapan waktu puncak yang dijadualkan. Tiada gangguan perkhidmatan berlaku pagi ini,” katanya.

Jelasnya lagi bahawa, pihaknya telah mengambil maklum laporan yang merujuk kepada kemas kini khidmat pelanggan Rapid KL di media sosial berhubung beberapa tren yang dikeluarkan daripada perkhidmatan.

Katanya, kemas kini tersebut merupakan sebahagian daripada langkah ketelusan proaktif operator bagi memastikan penumpang sentiasa dimaklumkan mengenai pelarasan operasi secara masa nyata.

Menurut syarikat itu, pengeluaran tren daripada perkhidmatan adalah prosedur operasi dan keselamatan standard yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Tren mungkin dikeluarkan sementara bagi tujuan pembaikan kecil termasuk isu prestasi penyaman udara atau sistem lain di dalam tren. Langkah ini diambil bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan kepada penumpang sentiasa terpelihara,” katanya.

Rapid Rail memaklumkan, setiap kali tren dikeluarkan daripada operasi, pihaknya akan melaksanakan langkah mitigasi termasuk menggerakkan tren gantian sekiranya perlu bagi memastikan selang masa (headway) kekal pada kekerapan waktu puncak.

“Ketelusan operasi tidak seharusnya ditafsirkan sebagai gangguan perkhidmatan,” ujarnya.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan berhubung gangguan di Laluan Kelana Jaya selepas beberapa unit tren dilaporkan dikeluarkan daripada perkhidmatan susulan isu teknikal, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

Untuk rekod, pengguna pengangkutan awam sebelum ini pernah berdepan beberapa insiden gangguan perkhidmatan tren, khususnya pada waktu puncak, yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan kekecewaan dalam kalangan penumpang.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat