DOSM: Sektor pertanian dan pembuatan tumbuh sederhana

PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia terus menunjukkan aliran menurun apabila mencatatkan penyusutan 0.1 peratus pada Oktober 2025, berbanding penurunan 0.8 peratus pada September, menurut laporan bulanan terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor Pembuatan kekal mencatatkan penurunan sebanyak 0.6 peratus, dipengaruhi kejatuhan harga dalam subsektor Pembuatan kok dan produk petroleum bertapis 5.1 peratus serta Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal 1.6 peratus.

Sektor Perlombongan turut menguncup 1.0 peratus dipacu penurunan indeks Pengekstrakan petroleum mentah 2.2 peratus. Namun, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.7 peratus, disokong subsektor tanaman kekal dan pengeluaran ternakan.

Dalam perbandingan bulan ke bulan, IHPR keseluruhan tidak berubah, dengan pertumbuhan sederhana dalam sektor pertanian 0.9 peratus, pembuatan 0.3 peratus dan bekalan air 1.5 peratus. Sebaliknya, sektor perlombongan merosot ketara sebanyak 4.8 peratus.

Bagi peringkat pemprosesan, indeks Bahan perantaraan menguncup 0.2 peratus, manakala barang siap susut 1.0 peratus. Indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya bagaimanapun meningkat 1.2 peratus.

Malaysia mencatat trend sama dengan beberapa negara serantau, termasuk Thailand yang merekodkan inflasi pengeluar negatif lapan bulan berturut-turut. China terus kekal dalam deflasi pengeluar, manakala Jepun mencatat peningkatan kecil 2.7 peratus.

DOSM turut melaporkan harga minyak mentah Brent merosot kepada USD64.54 setong pada Oktober, sementara harga minyak sawit mentah (CPO) meningkat kepada RM4,412.50 satu tan berikutan kekurangan bekalan minyak sayuran global.

Untuk rekod, Malaysia baru-baru ini meraih kedudukan pertama dunia dalam Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, peningkatan signifikan daripada tangga ke-67 sebelum ini, didorong platform OpenDOSM NextGen yang memperkukuh akses data awam negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat