KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan bahawa keseluruhan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilaksanakan dengan telus serta mematuhi semua prosedur dan peruntukan undang-undang.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata proses pengundian, pengiraan dan pengisytiharan keputusan turut dipantau parti politik, pemerhati serta individu dilantik.
Beliau menjelaskan, dakwaan tular yang mempersoalkan ketelusan SPR adalah tidak tepat dan sebarang pertikaian perlu dikemukakan melalui petisyen pilihan raya dalam tempoh 21 hari selepas keputusan diwartakan.
“SPR mengambil maklum beberapa dakwaan tular dalam media sosial yang memberikan gambaran kurang tepat mengenai perjalanan pilihan raya, terutama tuduhan ketidaktelusan SPR melaksanakan proses PRN Sabah.
“Sebarang pertikaian mengenai proses atau keputusan pilihan raya sepanjang PRN Sabah ke-17, perlu dikemukakan melalui petisyen pilihan raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya diwartakan SPR kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Keputusan rasmi PRN menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang 29 kerusi, diikuti Warisan (25), BN (6), Bebas (5), UPKO (3), STAR (2), KDM (1), PN (1) dan PH (1). PRN kali ini mencatatkan 64.35 peratus keluar mengundi, melibatkan 1,148,476 pengundi.
SPR merakam penghargaan kepada semua pengundi serta agensi kerajaan, pihak keselamatan, media dan semua pihak yang menjayakan perjalanan PRN Sabah ke-17.
Baca juga:








