KUALA LUMPUR: Meskipun menamatkan tugas sebagai Senator, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Dalam sesi perbincangan bersama Concorde Club, Zafrul berkata platform itu sentiasa menjadi medan penting untuk mendapatkan pandangan jujur dan kritikal daripada wartawan tempatan serta antarabangsa, sekali gus membantu memperkukuh dasar kerajaan.
Beliau memaklumkan bahawa sesi kali ini turut dipenuhi soalan mengenai hala tuju dirinya selepas tempoh sebagai Senator tamat, namun menegaskan fokusnya tetap pada usaha memajukan Malaysia.
“Walaupun tidak lagi menjadi Senator selepas ini, sokongan dan komitmen saya untuk memastikan agenda ekonomi rakyat dan negara berjalan lancar akan sentiasa utuh. Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Zafrul yang menghadiri persidangan terakhirnya di Dewan Negara hari ini turut meluahkan penghargaan atas amanah berkhidmat di Parlimen, sambil berharap hubungan baik dengan media terus terjalin.
“Kalau semalam saya ucapkan selamat tinggal di Dewan Rakyat, hari ini pula adalah hari terakhir saya menghadiri persidangan Dewan Negara.
“Pengalaman berkhidmat di Parlimen adalah amanah yang sangat saya hargai. Walaupun tidak lagi menjadi Senator selepas ini, sokongan dan komitmen saya untuk memastikan agenda ekonomi rakyat dan negara berjalan lancar akan sentiasa utuh! Insya-Allah. Doakan yang terbaik!
Baca juga:








