PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan penuh kasih sempena ulang tahun kelahiran isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam ucapan ringkas tetapi sarat dengan makna, Anwar menzahirkan penghargaan terhadap peranan Wan Azizah sebagai teman hidup dan sandaran hati sepanjang perjalanan politik dan kehidupan beliau.
“Selamat ulang tahun buat Azizah, teman hidup dan sandaran hati saya.
“Semoga Allah SWT terus memelihara dan memberkati perjalanan hidup kita,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Wan Azizah, seorang doktor perubatan, telah memainkan peranan penting dalam mengemudi PKR ketika Anwar dipenjara pada era Reformasi.
Beliau menjadi wajah perjuangan rakyat, membawa mesej keadilan dan demokrasi ke seluruh negara.
Sebagai pasangan, Anwar dan Azizah sering digambarkan sebagai saling melengkapi di mana, Anwar dengan kepimpinan karismatiknya, manakala Azizah dengan kelembutan, keteguhan prinsip dan sokongan tanpa berbelah bahagi.

Selain menjadi Presiden PKR, Wan Azizah pernah mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 2018.
Beliau juga menerajui Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga, memperjuangkan isu-isu berkaitan kebajikan rakyat, kesaksamaan gender dan kesejahteraan keluarga.








