PETALING JAYA: Pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, awal pagi tadi bukan sahaja dirasai oleh rakyat Sabah tetapi turut meninggalkan kesan mendalam kepada rakan seperjuangan beliau di peringkat nasional.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, meluahkan rasa pilu apabila menerima khabar duka itu.
Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menyifatkan Bung Moktar sebagai sahabat sejati yang sentiasa teguh berdiri di sisi dalam suka dan duka.
“Ya Allah… Luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan ini.
“Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat sejati yang begitu dekat di hati, seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah.
“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” katanya.
Zahid turut menzahirkan doa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba Allah yang beriman serta beramal soleh.
“Kami di seluruh saf kepimpinan UMNO, Barisan Nasional dan seluruh rakyat khususnya di Negeri Sabah berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, dilimpahi keampunan, dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Mu yang beriman serta beramal soleh.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.
“Semoga kalian semua dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,” katanya lagi.
Pemergian Bung Moktar Radin pada usia 66 tahun dianggap satu kehilangan besar buat UMNO dan BN Sabah, selain meninggalkan legasi kepimpinan yang lantang memperjuangkan kepentingan rakyat Kinabatangan dan Sabah secara keseluruhan.








