PETALING JAYA: Malaysia secara rasmi memilih untuk menganjurkan Sukan SEA ke-34 dari 18 hingga 29 September 2027, dengan tarikh yang ditetapkan secara strategik bagi memastikan kelancaran temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pemilihan tarikh tersebut mengambil kira musim cuti universiti, faktor meteorologi serta bagi memastikan acara berlangsung tanpa bertembung dengan sebarang acara besar lain.
“Manakala dari sudut meteorologi, tempoh ini masih sebelum bermulanya musim tengkujuh, sekali gus memastikan keadaan cuaca lebih stabil untuk penganjuran sukan luar.
“Penetapan tarikh ini juga dibuat bagi memastikan temasya berlangsung selepas Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September), serta tidak bertembung dengan sebarang acara besar lain,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata, pengumuman tarikh serta senarai awal 38 jenis sukan dibuat selepas Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA ke-34 dan Sukan PARA ASEAN ke-14 di Putrajaya.
Menurutnya, pemilihan sukan dilakukan berdasarkan ketetapan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), kesesuaian ‘venue’ sedia ada serta pertimbangan tambahan seperti senarai sukan teras, program Road To Gold (RTG) dan Program Podium.
“Malaysia buat julung kalinya akan menganjurkan Sukan SEA dengan empat kluster utama bagi memastikan pengagihan venue lebih efisien dan memberi manfaat pembangunan sukan di seluruh negara.
“Sarawak akan menjadi kluster utama dengan 17 sukan termasuk akuatik, gimnastik, skuasy, taekwondo, tenis, memanah dan esports, selain menjadi lokasi upacara pembukaan,” katanya.
Hannah berkata, Pulau Pinang pula akan menganjurkan enam sukan antaranya sepak takraw, judo, tinju dan pingpong.
Katanya lagi, Johor akan menjadi pusat acara bola sepak, manakala Kuala Lumpur akan menampilkan 14 sukan termasuk badminton, hoki, olahraga, pencak silat, ragbi dan pelayaran di Langkawi serta menjadi lokasi upacara penutup.
Tambah beliau, Majlis Olimpik Malaysia bersama MASOC akan membentangkan cadangan penuh 38 sukan ini kepada SEAGF pada 8 Disember 2025 di Bangkok.
Selepas penganjuran Sukan SEA, Malaysia turut akan menganjurkan Sukan PARA ASEAN ke-14 dari 17 hingga 23 Oktober 2027 di Kuala Lumpur, melibatkan 18 sukan termasuk renang para, bola keranjang berkerusi roda, goalball, powerlifting dan tenis berkerusi roda.
Dalam perkembangan sama Hannah berkata, Pertandingan Mencipta Logo dan Maskot Rasmi Sukan SEA ke-34 serta Sukan PARA ASEAN ke-14 Tahun 2027 telah dibuka kepada semua warganegara Malaysia.
“Penyertaan terbaik bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu RM8,000 beserta sijil untuk tempat pertama, RM5,000 dan sijil untuk tempat kedua serta RM3,000 dan sijil untuk tempat ketiga,” katanya.
Pertandingan ini ditutup pada 31 Disember 2025 dan hasil ciptaan boleh dihantar melalui pautan rasmi https://forms.gle/ZUgb3k3BKUZxaXvi8.








