Anwar Lancar Buku Terbaharu, Royalti Disalur Untuk Pelajar Miskin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku terbaharunya bertajuk Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times, sebuah karya yang menelusuri cabaran dunia dalam apa yang digelar sebagai Zaman Pascanormal (Postnormal Times).

Buku setebal 240 halaman itu menghimpunkan refleksi peribadi dan gagasan pemikiran Anwar mengenai keadilan sosial, reformasi serta perubahan mendadak yang dihadapi masyarakat global dalam era ketidaktentuan dan transisi kompleks.

Dalam ucapannya pada majlis pelancaran di Bukit Jalil, Anwar mengumumkan bahawa 100 peratus royalti buku tersebut akan disalurkan kepada pelajar miskin di seluruh negara.

“Setiap sen royalti buku Rethinking Ourselves disumbangkan untuk pelajar miskin di seluruh negara,” katanya.

Buku itu diterbitkan untuk pasaran global melalui tiga penerbit antarabangsa: Hurst London (United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah), Penguin (Asia) serta Hong Kong University Press (China dan Asia Timur).

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada penerbit terlibat atas komitmen menerbitkan karya tersebut dan menyediakan potongan harga bagi pembelian awam.

Pada majlis sama, Anwar meluangkan masa beramah mesra, bergambar dan menandatangani lebih 50 naskhah buku yang dibeli oleh pembeli terawal.

Karya berkenaan menawarkan pandangan mendalam mengenai perubahan geopolitik, dinamika sosial dan tuntutan reformasi dalam era baharu yang penuh cabaran.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat