PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan simpati dan solidariti kepada kerajaan serta rakyat Indonesia susulan bencana yang melanda Aceh dan Sumatera Utara dengan mengumumkan bantuan awal kepada pelajar Indonesia di negara ini.
Dalam kenyataan, Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa Malaysia akan menyalurkan sumbangan permulaan sebanyak RM500 seorang kepada pelajar Indonesia yang sedang menuntut di Malaysia dan terjejas akibat bencana berkenaan.
“Bantuan berkenaan adalah tanda ihsan serta persahabatan antara dua negara jiran yang mempunyai hubungan kekeluargaan akrab,” katanya.
Menurut PMO, pelajar Indonesia yang terkesan diminta segera mendaftar dengan institusi pengajian masing-masing bagi memudahkan proses penyelarasan dan penyaluran bantuan mengikut keperluan.

Malaysia turut menegaskan komitmen untuk terus bersama Indonesia dalam menghadapi detik sukar ini, serta berharap keadaan di kawasan terjejas kembali pulih secepat mungkin.
Terdahulu, banjir besar yang melanda Aceh dan Sumatera Utara sejak akhir November 2025 telah mengakibatkan kemusnahan besar, ribuan kematian dan jutaan penduduk terjejas.
Dilaporkan, lebih tiga juta orang terkesan termasuk hampir 850,000 yang terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan.








