Pengasas Seni Malaya, Irwan Muhammad Zain Meninggal Dunia

PETALING JAYA: Dunia kewartawanan dan seni tanah air kehilangan seorang tokoh berwibawa apabila Pengasas Seni Malaya merangkap bekas wartawan kanan Astro AWANI, Irwan Muhammad Zain, 52, meninggal dunia di Hospital Cyberjaya pada Khamis.

Allahyarham, bapa kepada tiga anak, dikenali sebagai seorang profesional berintegriti, berani menyuarakan kebenaran dan sentiasa berpegang teguh kepada etika kewartawanan.

Sepanjang kerjayanya, Irwan banyak menghasilkan laporan penting termasuk liputan pilihan raya, dasar kerajaan dan perkembangan politik tanah air.

Komitmen serta dedikasinya dalam menyampaikan berita tepat dan seimbang meninggalkan impak besar kepada rakan sekerja serta industri media.

Pada tahun 2023, beliau menubuhkan Seni Malaya, sebuah portal berita seni yang memberi fokus kepada seni visual, persembahan, filem, muzik dan sastera, sekali gus memperluas sumbangannya kepada dunia budaya dan kreatif negara.

Malaysia Bangkit menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, rakan serta sahabat Allahyarham.

Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.

Anda Mungkin Berminat