PETALING JAYA: Polemik berkaitan cadangan pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) tidak wajar dijadikan alat meraih sokongan politik, khususnya melalui sentimen perkauman.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata isu pendidikan di negara majmuk perlu ditangani secara bijaksana dan berpaksikan perpaduan nasional.
“UEC tidak seharusnya dijadikan modal politik yang akhirnya menggugat keharmonian masyarakat.
“ABIM menolak sebarang usaha memanipulasi isu tersebut sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan kebangsaan.
“Negara memerlukan politik nilai yang mengukuhkan integrasi nasional,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Fahmi, pelajar sekolah menengah persendirian Cina sebenarnya mempunyai laluan sah ke universiti awam melalui STPM serta saluran sedia ada.
“Naratif bahawa pelajar Cina terhalang memasuki universiti awam tidak tepat dan bercanggah dengan dasar pendidikan negara,” katanya lagi.
Katanya,sebarang pertimbangan untuk mengiktiraf UEC mestilah tidak menjejaskan syarat wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM, selain memastikan kurikulum kebangsaan kekal sebagai piawaian utama.
“Kurikulum nasional tidak boleh dikesampingkan atas apa jua alasan jika kita mahu mengekalkan asas penyatuan rakyat,” ujarnya.
Baca juga:







