PETALING JAYA: Kesatuan-Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia menjelaskan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer tidak bermaksud untuk merendahkan atau memperlekehkan mana-mana kakitangan Pos Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama, kesatuan itu berkata, pihak mereka telah berjumpa dan mendapatkan penjelasan daripada beliau sehari selepas komen tersebut menjadi tular di media sosial.
“Kesatuan memahami bahawa bukan maksud beliau untuk memperlekehkan kakitangan tersebut. Cuma terdapat salah faham dalam penyampaian dan beliau sendiri telah mengakui kesilapan tersebut.
“Kesatuan menyeru agar isu ini tidak lagi diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan salah faham terhadap niat sebenar beliau,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Kesatuan itu menyatakan bahawa sepanjang perkhidmatan Charles Brewer sebagai CEO, beliau sentiasa komited mendekati kakitangan di semua peringkat serta berhubungan baik dengan pihak Kesatuan.
Justeru itu, Kesatuan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan beliau.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia (UPUS); UPUS Sarawak dan KEPPSES Sabah.
Sebelum ini, Brewer dikecam pengguna sosial susulan reaksinya terhadap aduan berkenaan pakaian seragam yang rosak oleh seorang kakitangan Pos Malaysia yang disifatkan tidak profesional yang tular di dalam media sosial.
Bagaimanapun, Brewer kemudiannya memohon maaf kepada kakitangan yang terkesan serta kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan itu.
Sementara itu, mengulas mengenai isu tersebut, Kesatuan memaklumkan bahawa pakaian seragam baharu untuk kakitangan Pos Malaysia akan dibekalkan, namun berlaku kelewatan tahun ini akibat penambahbaikan material dan kualiti.
Sebagai langkah sementara, jersi Pos Malaysia akan diedarkan secara bersama oleh Kesatuan dan Pengurusan.
“Di samping itu, demi menjaga keselamatan kakitangan di unit penghantaran, Pos Malaysia juga telah memberi komitmen untuk menambah keperluan keselamatan seperti kasut keselamatan dan sarung tangan kepada posmen serahan,” katanya.
Baca juga: