PETALING JAYA: Kerajaan MADANI terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–India dengan nilai dagangan dijangka melonjak kepada USD18.59 bilion pada tahun 2025, sekali gus mengekalkan India sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat perpisahan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy, di Putrajaya pada Isnin.
“Menerima kunjungan hormat perpisahan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia yang bakal menamatkan perkhidmatannya tidak lama lagi.
“Kami mengambil peluang ini untuk memperkukuh hubungan dua hala yang kini berada pada tahap Kerjasama Strategik Komprehensif,” katanya.
Anwar berkata, hubungan erat itu mencerminkan iltizam bersama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, digital, kecerdasan buatan (AI), keterjaminan makanan, pendidikan serta hubungan rakyat-ke-rakyat.
Beliau turut menyorot perkembangan positif perdagangan dua hala yang semakin kukuh.
“Perdagangan kita dijangka mencecah USD18.59 bilion pada 2025,” katanya.
Menurutnya, kerjasama dalam bidang digital dan teknologi baharu juga semakin memberangsangkan khususnya melalui penganjuran Mesyuarat Pertama Malaysia–India Digital Council (MIDC) dan MY–India AI Conclave di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
“Malaysia akan terus memperkukuh hubungan baik ini demi manfaat bersama, kestabilan serantau dan kemakmuran inklusif kedua-dua negara,” kata beliau.








