Surat Sokongan Hanya Dipanjang Ikut Prosedur, Tiada Kuasa Lulus – Kamil

PETALING JAYA: Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menegaskan bahawa surat sokongan yang diterima pejabatnya setiap hari tidak membawa sebarang bentuk kelulusan, sebaliknya hanya dipanjangkan kepada kementerian atau agensi berkaitan mengikut prosedur rasmi.

Memetik wawancara bersama Mingguan Malaysia, beliau berkata, peranan pejabat politik adalah memastikan setiap permohonan disalurkan melalui saluran yang betul, bukannya meluluskan atau memberi keistimewaan kepada mana-mana pihak.

“Kalau dilihat surat itu, tiada yang menyebut bahawa saya setuju atau saya sokong.

“Saya tidak ada kuasa untuk meluluskan dan saya juga tidak mempunyai pasukan teknikal untuk menilai permohonan tersebut,” katanya.

Menurut Kamil, isu sebenar timbul apabila terdapat cubaan menggunakan surat sokongan sebagai jalan pintas untuk memintas proses rasmi.

Tindakan sebegini, katanya, boleh menjejaskan kefahaman awam terhadap prinsip tata kelola dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa komitmen Kerajaan MADANI terhadap tata kelola menuntut setiap permohonan dinilai secara profesional, berasaskan peraturan dan kelayakan tanpa pengaruh peribadi atau tekanan politik.

Anda Mungkin Berminat